Berita Utama

Kuasa PRU, rakyat berhak ‘ajar’ makhluk perosak parti politik

Kita mahu pemimpin wibawa, utamakan maslahat rakyat

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pilihan Raya Umum boleh dianggap sebagai alternatif terbaik untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat bagi menentukan siapa paling layak mewakili kepentingan mereka di Parlimen.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid berkata, rakyat adalah pihak yang paling layak dan utama untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada ‘makhluk-makhluk perosak’ yang berkeliaran di dalam tubuh badan hampir semua parti politik hari ini.

“Negara memerlukan barisan pemimpin baharu yang lebih berwibawa, teguh memegang prinsip, setia dan patriotik, mengutamakan maslahat rakyat daripada kepentingan peribadi, menjadi khadam kepada masyarakat.

“…dan bukannya hamba abdi kepada hawa nafsu dan memiliki keberanian untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara serta menjaga kebaikan semua warganegara. Biarlah kesengsaraan politik ini segera ditamatkan,” katanya.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa, ‘pisau belati’ dan ‘racun’ sentiasa terselip dan tersembunyi di belakang tangan dan juga dalam pakaian masing-masing, meskipun di saat itu mereka sedang bersalaman atau berjabat tangan dengan senyum simpul terukir di wajah mereka.

Katanya, perbalahan dan pertelingkahan antara parti politik dan sesama parti menunjukkan bahawa manusia tanpa bimbingan wahyu dan syariat hanya akan merosakkan fitrah insan.

Bahkan turut menjadikan manusia itu berperangai ‘Iblis’ dan lebih rendah darjatnya dari binatang, kata beliau.

“Sudah jelas dan nyata bahawa perpaduan dan muafakat yang berdasarkan kepentingan kebendaan dan hawa nafsu adalah kerjasama politik yang sangat rapuh, lemah dan tidak akan kekal lama.

“Kita hanya melihat gambaran zahir saja kononnya mereka bersatu, bersama, bersepakat, bergandingan tangan, selangkah seiringan, bermanis kata dan tersenyum sesama sendiri.

“Akan tetapi, hakikatnya mereka sudah berpecah belah dan hancur dari dalam. Di dalam ‘kerjasama’, ‘kesepakatan’ dan ‘pakatan’ palsu tersebut berselirat segala rencana, tipu muslihat, onar, konspirasi, perancangan dan strategi untuk saling menjatuhkan sesama sendiri,” dakwanya menerusi satu kenyataan.

Ketika ini, majoriti barisan kepimpinan UMNO amat mengharapkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilaksanakan segera.

Perkara itu timbul akibat ketidakstabilan kerajaan PN, seperti gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen.

Selain itu, pemerhati politik pula percaya UMNO menyasarkan majoriti di Parlimen untuk mendapatkan kembali kuasa yang terlepas pada PRU lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button