Berita Utama

Pelik! Perlekeh tapi bersungguh guna logo halal tulisan Jawi

Mengapa kaum Cina begitu sensitif dan tolak untuk iktiraf Jawi?

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Semua pihak diminta tidak memperlekehkan keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Bagaimanapun Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi hairan dengan sikap sebahagian netizen Cina – selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan kempen Hari Jawi – ada yang menyindir usaha memartabatkan warisan negara itu sebagai langkah terkebelakang.

“Anehnya dalam perniagaan kaum Cina, mereka jualah yang bersungguh menggunakan logo halal yang bertulisan Jawi, malah beberapa jenama produk mereka terukir indah dalam Jawi dan bercirikan kemelayuan.

“Namun apabila kerajaan mengumumkan langkah ini, mereka lantas menolak bahkan memperlekehkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Dr Zulkifli berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat pada Rabu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang mengajak orang Melayu makan daging babi pada hari Jumaat.

Dr Ahmad Sanusi hairan mengapa kaum Cina begitu sensitif dan menolak untuk bersama mengangkat pengiktirafan bahawa Jawi yang menjadi identiti negara ini.

Beliau mempersoalkan sama ada penolakan itu disebabkan doktrin ekstrem yang disemaikan oleh parti tamak haloba DAP dalam pemikiran mereka.

“Tulisan Jawi adalah warisan bangsa Melayu. Jangan dihina tulisan yang telah merekodkan pelbagai khazanah ilmiah orang Melayu. Bahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman ialah dalam tulisan Jawi.

“Bahkan undang-undang hukum Islam terdahulu turut direkodkan di dalam tulisan Jawi. Perhatikan sahaja Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti kepentingan tulisan ini dalam urusan pentadbiran Melayu suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya lagi, sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah.

“Malah menurut beliau, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan Jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya.

https://ismaweb.net/2020/07/11/perlekeh-hari-jawi-netizen-cina-mahu-jumaat-hari-makan-babi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close