Berita UtamaDunia

Peraturan perjalanan COVID-19 di UK tamat Jumaat ini

Pengumuman dibuat ketika kes baharu meningkat 48 peratus dari minggu sebelumnya

LONDON, 12 Syaaban 1443H, Selasa – United Kingdom (UK) menamatkan semua langkah pencegahan COVID-19 sedia ada ke atas pengembara, termasuk borang pengesanan penumpang dan keperluan ujian saringan bagi individu yang tidak divaksin mulai Jumaat ini.

Kerajaan Britain mengumumkan keputusan itu bagi memudahkan cuti sekolah untuk perayaan Hari Easter.

Pengumuman itu dibuat ketika jangkitan coronavirus meningkat di keempat-empat bahagian UK – England, Scotland, Wales dan Ireland Utara – buat pertama kali sejak akhir Januari.

Angka terkini yang dikeluarkan kerajaan pada Isnin menunjukkan terdapat lebih 444,000 kes baharu direkodkan dalam tujuh hari lalu, meningkat 48 peratus daripada minggu sebelumnya.

Jumlah pesakit hospital akibat pandemik juga meningkat, walaupun masih jauh di bawah paras tertinggi yang dicatatkan pada Januari.

Para saintis berkata, kebanyakan jangkitan baharu di England adalah sub-varian yang lebih mudah ditularkan daripada varian Omicron.

Menurut Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid, peningkatan jangkitan adalah ‘seperti dijangkakan’ apabila orang ramai lebih bersosial selepas semua sekatan coronavirus domestik – termasuk keperluan undang-undang bagi sesiapa yang diuji positif untuk mengasingkan diri – berakhir pada 24 Februari lalu.

“Kami akan terus memantau dan menjejaki potensi varian baharu dan menyimpan rizab langkah yang boleh digunakan dengan pantas jika perlu untuk memastikan kami selamat,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button