Rejim Israel ‘cuai’ punca tahanan Palestin dijangkiti COVID-19
Dasar perubatan tak sistematik, tahanan terdedah wabak ancam nyawa
TEBING BARAT, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Seorang tahanan Palestin di penjara negara haram Israel telah dijangkiti coronavirus, lapor Suruhanjaya Hal Ehwal Palestin pada hari Ahad.
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata, Kamal Abu Wa’er, 46, didiagnosis dengan virus itu, menyalahkan dasar ‘kecuaian perubatan’ Israel untuk penyakitnya.
“Dasar kecuaian perubatan yang disengajakan dan sistematik oleh Israel menjadikan tahanan (Palestin) mudah terdedah terhadap coronavirus serta wabak dan penyakit lain yang mengancam nyawa mereka,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Abu Wa’er, dari bandar Qabatiya di utara Tebing Barat, menderita kanser tekak dan kini dirawat di hospital Assaf Harofeh Israel.
Dia ditahan pada tahun 2003 dan menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Kelmarin, pihak berkuasa penjara Israel berkata, seorang tahanan didapati positif COVID-19, tanpa memberikan perincian lebih lanjut mengenai identitinya.
Pihak berkuasa Palestin menganggarkan lebih daripada 5,500 rakyat Palestin kini dipenjarakan di seluruh Israel. – Agensi