Berita Utama

Tak mustahil negara berdepan PRU jika PN hilang sokongan majoriti

Harap tiada usaha beli wakil rakyat demi kepentingan politik sempit

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan tugas dengan cara terbaik demi kebaikan rakyat.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, sokongan rakyat dapat mendorong Ahli-Ahli Parlimen memberikan kepercayaan yang padu kepada kerajaan.

Katanya, kemampuan kerajaan PN melepasi ujian kelulusan usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah satu gambaran berkaitan tahap sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin.

“Jumlah undi yang menyokong adalah seramai 111 orang berbanding 109 yang menentang. Keseluruhan anggota Dewan Rakyat adalah 222. Seorang anggota Dewan Rakyat yang dipercayai menyokong kerajaan PN tidak hadir, dan manakala seorang lagi tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang.

“Selama ini kerajaan PN dituduh sebagai kerajaan yang tidak mempunyai keabsahan, kononnya kerana tidak mempunyai sokongan majoriti. Hakikatnya kerajaan PN mempunyai keabsahan sejak dari awal.

“Yang di-Pertuan Agong, mempunyai budi bicara di bawah Perlembagaan untuk memilih Perdana Menteri yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat. Pemilihan baginda tidak boleh dipertikaikan dan tidak perlu melalui undian di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari perspektif yang lain pula, Dr Fathi berkata, kekuatan yang ada pada pembangkang dari sudut bilangan kerusi Parlimen boleh meningkatkan budaya ‘semak dan imbang’ demi kebaikan rakyat.

Pada masa sama, beliau berharap tidak berlaku usaha untuk membeli wakil rakyat demi kepentingan politik sempit.

“Dalam situasi semasa, jika kerajaan PN hilang sokongan majoriti, tidak mustahil negara terpaksa berdepan dengan satu Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat. Soalnya, adakah rakyat bersedia untuk itu?

“Walau apapun yang berlaku, kita mendoakan agar Allah mengurniakan ketetapan yang terbaik untuk Malaysia. Pada saat dunia menghadapi wabak COVID-19 dan negara berdepan ketidaktentuan ekonomi, fokus perlu diberikan kepada kesejahtaraan rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan Datuk Azhar Azizan Harun yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah memastikan Azhar bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azhar kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu, bagaimanapun majlis angkat sumpah itu bertukar kecoh apabila wakil rakyat pembangkang berterusan mempersoalkan pelantikan Azhar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close