Berita Utama

Rombak semula UMNO Terengganu

Ahmad Said perlu berundur, beri peluang kepada muka baru

BANGI, 27 Muharram 1445H, Isnin – UMNO Terengganu perlu membuat rombakan dan penjenamaan semula susulan prestasi buruk yang direkodkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said digesa berundur dan memberi peluang kepada muka baharu bagi menerajui parti dengan idea yang lebih baik.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pengunduran itu wajar susulan kekalahan teruk yang menyebabkan 32 calon Barisan Nasional (BN) tewas di negeri berkenaan.

“Sebagai pemimpin yang berkaliber, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertanggungjawab dengan kekalahan itu.

“Sudah tiba masanya untuk beliau untuk berundur dan memberi peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti supaya ada idea-idea baharu yang dapat menguatkan lagi parti.

“BN negeri perlu dibuat rombakan dan dilakukan ‘rebranding’ dan ‘reengineering’ kerana BN dan UMNO Terengganu sangat lemah ketika ini,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata, bekas Menteri Besar Terengganu itu terlalu lama menerajui UMNO Kemaman sejak 23 tahun lalu.

“Di Kemaman sendiri, Ahmad menjadi Ketua UMNO Bahagian sejak tahun 2000.

“Lima kali berlaku pertukaran ketua pemuda, namun Ketua Bahagian tetap individu sama,” katanya.

Dalam keputusan PRN kelmarin, Ahmad Said yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya selama sembilan penggal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button