Berita UtamaDunia

3 suspek perdagang ratusan wanita di Bangladesh diberkas

Dipercayai jual gadis antara usia 18 ke 25 tahun untuk tujuan seks

DHAKA, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Polis Bangladesh mengumumkan, menahan tiga lelaki kerana memperdagangkan ratusan wanita muda yang dibawa ke Dubai atas janji peluang kerja di hotel sebelum dipaksa melakukan pekerjaan seks.

Mangsa pada awalnya dibayar gaji sebulan dan diberitahu akan bekerja sebagai pembantu rumah atau penari.  

Namun, setibanya di Dubai, mereka dipaksa melakukan pekerjaan terkutuk itu bagi mendapatkan wang atau dipukul sekiranya menolak, kata polis.

Di antara tiga yang ditangkap adalah seorang lelaki disyaki sebagai ketua kumpulan itu, yang telah bersembunyi di Bangladesh sejak dihantar pulang dari Dubai awal tahun ini.

Dia ditangkap atas tuduhan pemerdagangan manusia ketika cuba meninggalkan negara itu awal bulan ini, kata polis, yang menggambarkan dua lelaki lain sebagai ‘broker’ dan mengatakan bahawa mereka masih mencari orang lain.

“Kami telah menangkap ketua sindiket tersebut. Tetapi ada ahli lain yang meneruskan perniagaan ini. Kami akan menangkap mereka secepat mungkin.

“Gadis-gadis yang mereka sasarkan berusia antara 18 hingga 25 tahun. Sebilangan daripada mereka adalah pekerja pakaian, ada yang mencari pekerjaan. 

“Para penyeludup telah bekerja selama sekurang-kurangnya lapan tahun dan kami menganggarkan bahawa mereka menghantar ratusan wanita,” kata Timbalan Inspektor Jeneral Jabatan Siasatan Jenayah, Imtiaz Ahmed.

Bangladesh meningkatkan usaha menangani masalah pemerdagangan manusia setelah 24 warganya terbunuh di Libya pada bulan Mei.  

Bulan lalu sekurang-kurangnya 50 orang ditangkap dalam satu operasi.

Tetapi pakar memberi amaran, negara itu perlu meningkatkan hukuman pemerdagangan manusia jika ingin membendung jenayah tersebut.

Lebih daripada 4,000 kes pemerdagangan manusia masih menunggu siasatan atau pendakwaan pada akhir tahun lalu, dan kadar dakwaan hanya 1.7 peratus pada tahun 2019, menurut laporan terkini Pemerdagangan Manusia Amerika Syarikat.

“Kerana siasatan yang buruk dan kurangnya bukti, banyak daripada mereka yang ditangkap tidak dihukum berdasarkan undang-undang.

“Perlu ada lebih banyak contoh perdagangan yang dihukum,” kata Ketua Program Hak Migran Ovibashi Karmi Unnayan, Shakirul Islam.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya enam warga Bangladesh dipenjara di Dubai kerana memperdagangkan wanita, termasuk mereka di bawah umur. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button