Berita Utama

4 kilang kotor di Bukit Mertajam diarah tutup

Libat 2 kilang proses kerisik, sebuah kilang kicap serta kilang mi

BUKIT MERTAJAM, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Dua kilang memproses kerisik, sebuah kilang kicap dan sebuah kilang mi diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati premisnya kotor.

Pemeriksaan itu dibuat oleh petugas dua jabatan berkenaan dalam Ops Tegar di sekitar Mengkuang Titi, Sungai Lembu dan Tanah Liat, di sini, hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKN Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata dalam operasi bermula pukul 10 pagi itu, pihaknya mendapati empat kilang itu beroperasi tanpa mengikut piawaian kebersihan ditetapkan malah ada yang sangat kotor.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan sekitar kilang kerisik itu mendapati bukan setakat lantai kilang sahaja didapati kotor, malah bekas menyimpan kerisik yang telah siap dimasak juga dalam keadaan jijik kerana terdapat kulat.

“Selain itu ada beberapa ekor anjing berkeliaran di premis itu dan kami turut menemui bangkai tikus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi.

Mohd Wazir berkata operasi itu dijalankan selepas pihaknya membuat risikan dan intipan sejak dua minggu lepas, dan menurutnya ada kilang yang pernah diambil tindakan tutup serta kompaun sebelum ini, namun didapati masih mengulangi kesalahan sama.

Menurutnya dalam operasi itu pihaknya dan MBSP turut mengeluarkan sembilan kompaun pelbagai kesalahan berjumlah RM9,000 dan pemilik kilang perlu membersihkan premis masing-masing sebelum dibenarkan beroperasi semula. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close