Dunia

Ikon Kristian di Hagia Sophia ditutup ketika umat Islam solat

Turki buka semula mosaik kepada pengunjung selain waktu solat

ISTANBUL, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Mosaik yang menonjolkan ikon-ikon agama Kristian di Hagia Sophia akan ditutup dengan tirai atau laser ketika umat Islam menunaikan solat di masjid itu, kata jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Omar Celik. 

Beliau berkata, ikon-ikon berkenaan akan dibuka semula kepada pengunjung pada waktu lain, selain bangunan bersejarah itu dibenarkan masuk secara percuma. 

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Turki memutuskan bahawa penukaran tapak Byzantine abad keenam menjadi muzium pada tahun 1934 adalah tidak sah. 

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan bangunan itu kini menjadi masjid dengan solat pertama dibenarkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Langkah itu menerima kritikan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Russia, manakala UNESCO sedang mengkaji status struktur Tapak Warisan Dunia berkenaan.

Menteri Luar Negeri Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, Ankara terkejut dengan reaksi UNESCO berhubung perkara itu, dan memaklumkan akan berbincang lanjut dengan badan itu berhubung langkah selanjutnya mengenai Hagia Sophia. 

Tapak bersejarah itu dibina pada 1,500 tahun lalu sebagai katedral Kristian Ortodoks, sebelum ditukarkan menjadi masjid setelah penaklukan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453. 

Pada tahun 1934, Hagia Sophia menjadi muzium dan kini diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO. 

Umat Islam di Turki sudah sekian lama meminta Hagia Sophia ditukar kembali kepada masjid tetapi anggota pembangkang sekular menentang perkara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close