Keputusan Agong betul, Muhyiddin miliki undi majoriti
Undi belah bagi gugur Speaker buktikan 111 Ahli Parlimen sokong PM
BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Angka undian dalam memilih Speaker di Parlimen, semalam membuktikan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah betul.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara tersebut menjawab segala persoalan sebelum ini bahawa Muhyiddin sebenarnya memiliki angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Muhyiddin memperoleh sokongan 111 Ahli Parlimen dalam usul menggugurkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, dengan 109 daripada mereka menolaknya.
Walau bagaimanapun, kata Ahmad Shabery, kemenangan tipis itu jelas menunjukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil.
“Lebih-lebih lagi apabila tiba sesi Bajet nanti. Banyak pengundian akan berlaku. Setiap Ahli Parlimen tak boleh kemana-mana. PM, menteri dan timbalan menteri mesti bekerja dalam Parlimen.
“Menteri Luar tak boleh keluar. Banjir pun tak boleh berada di kawasan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Berikutan itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu memberi gambaran, situasi berkenaan akan menyulitkan lagi kerajaan untuk berfungsi.
“Jalan terbaik, bubar Parlimen. Dapatkan mandat baru,” katanya.