Berita Utama

Kerajaan tubuh Majlis Kemakmuran Bumiputera

Jadi platform tertinggi perkasa sosio-ekonomi penduduk Bumiputera

KUALA LUMPUR, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kerajaan akan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), yang bakal dijadikan platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata MKB berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bil 15/2020 yang dipengerusikan oleh perdana menteri, hari ini.

“Pewujudan MKB ini adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Ia adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah,” katanya.

Mustapa berkata mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam dua aspek utama, iaitu menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi bumiputera.

Selain itu, peranan TERAJU akan diperkukuhkan bagi memperkemas dan menambahbaik pangkalan data berpusat bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik.

TERAJU yang ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah unit strategik yang berperanan untuk meneraju, memacu dan menyelaras agenda pembangunan Bumiputera sejajar dengan WKB 2030. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close