Berita Utama

KPKT mahu teruskan pilihan raya kerajaan tempatan

Sasar bentang usul di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021

KUALA LUMPUR, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sejak 2018 sehingga kini, pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Menurutnya, jawatankuasa polisi terdiri daripada pegawai dan agensi kerajaan untuk mempertimbangkan isu berkenaan perundangan, implikasi kewangan dan kaedah serta mekanisme pelaksanaan.

“Jawatankuasa operasi yang dianggotai badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua masyarakat akan melihat penyediaan kertas dari aspek kajian persepsi rakyat.

“Kita juga akan menjalankan ‘pilot study’ untuk kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang agak bersedia sedikit terutama di Selangor dan Pulau Pinang yang mana telah ‘endose’ pilihan raya kerajaan tempatan di peringkat negeri masing-masing.

“Ini semua dalam perancangan KPKT dan insya-ALLAH elemen dalam model pilihan raya juga sedang dikaji dari beberapa negara luar. Kita akan cari yang terbaik dan sesuai di Malaysia,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai perkembangan terbaru berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurut Zuraida, pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT.

Datuk Mahfuz Haji Omar (Amanah- Pokok Sena) mengemukakan soalan tambahan dengan meminta penjelasan KPKT sama ada telah meminta persetujuan Pas yang sebelum ini membantah pilihan raya kerajaan tempatan.

“Saya menanti-nantikan soalan dari Pokok Sena seperti sedemikian kerana saya nak sebut sewaktu saya mengangkat agenda ini dalam kerajaan dahulu, disanggah oleh Langkawi, tidak ada seorang di sana yang berani untuk menyokong saya ketika itu.

“Walaupun itu dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) namun demikian, saya percaya pendekatan dengan lebih teliti, menyeluruh, memberikan maklumat dan penerangan, Insya-ALLAH agenda ini akan dapat kita bentangkan kepada mereka (Pas),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close