Muktamad segera pelaksanaan tulisan Jawi di vernakular
Bagi bukti komitmen kerajaan perkasa seni warisan negara

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuktamadkan segera rancangan melaksanakan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, bagi membuktikan kesediaan serta komitmen kerajaan memperkasa seni warisan negara.
Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu juga secara tidak langsung seiring dengan inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadikan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’, selain memperkasakannya secara rasmi dalam kementerian berkenaan.
Menyokong usaha menteri agama itu, beliau berharap langkah memperkasakan tulisan Jawi akan terus diperluaskan di peringkat agensi kerajaan dan masyarakat awam, terutama KPM.
“Justeru, iGuru menuntut isu pelaksanaan tulisan Jawi di SJK Cina dan Tamil perlu dimuktamadkan segera untuk membuktikan kerajaan sedia ada mengekalkan seni warisan negara.
“iGuru juga menuntut supaya subjek ini dihidupkan kembali sebagai subjek wajib di sekolah kebangsaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasa sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia.
Beliau berkata, tulisan jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, pihaknya sentiasa menyokong sebarang usaha daripada kerajaan untuk memartabatkan tulisan Jawi mahu pun bahasa kebangsaan, khususnya dalam institusi pendidikan.
“iGuru berharap langkah ini dapat memelihara seni warisan bangsa dan mengekalkan identiti negara Malaysia,” katanya.