Nasib binatang kini lebih terbela daripada etnik Rohingya
Dunia perlu bantu pertahan Arakan, jangan dibebankan Malaysia
BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Masyarakat dunia sepatutnya membantu perjuangan etnik muslim Rohingya mempertahankan Arakan, bukan sebaliknya supaya mereka menyerah kalah kepada kezaliman pencerobohan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, meskipun menjadi tanggungjawab dunia menyelamatkan pelarian Rohingya, masyarakat antarabangsa juga wajib bersama mempertahankan Arakan yang menjadi tanah air etnik itu daripada hak asasi manusia mereka dirompak.
Bahkan katanya, tidak wajar juga hanya Malaysia sahaja dibebankan untuk menerima pelarian dan membantu perjuangan etnik minoriti yang dizalimi itu.
“Sepatutnya semua pihak mengambil iktibar bagaimana Turki yang dibebankan untuk menanggung pelarian Syria, yang dikutuk oleh negara-negara Barat bukannya untuk membantu dalam erti kata yang sebenar.
“Sebaliknya mereka lebih dahagakan minyak petrol yang hendak dicuri dan menyelamatkan Israel sebagai rakan sejawat sekali pun meminum darah manusia sendiri.
“Malangnya ada pula yang menjadi barua kepada agenda Barat yang sentiasa menjajah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, dalam keadaan Malaysia berdepan pandemik COVID-19, sangat tidak berakal sekiranya pintu sempadan dibuka kepada pendatang asing tanpa izin kononnya atas dasar kemanusiaan, sehingga mengetepikan rakyat dan negara sendiri.
“Adalah sangat tidak bertanggungjawab juga kalau sekadar untuk menyebarkan berita sensasi dengan harga moral yang sangat rendah, tanpa mengambil kira segala aspek tersebut, dan hanya bermodalkan di atas nama perikemanusiaan yang tidak saksama kemanusiaannya dalam segala aspek yang lebih luas dan pandangan yang jauh.
“Bahkan, terlalu pendek akal juga mereka yang hanya berniaga media dengan modal perikemanusiaan sahaja, tanpa mempedulikan nilai manusia yang wajib memperjuangkan agama, bangsa dan negara dengan harta dan jiwa raga,” katanya.
Abdul Hadi berkata, ramai pihak di negara ini yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan, tetapi terbabas akal kerana menjadikan Barat sebagai kebanggaan yang mengutamakan kebebasan binatang daripada kebebasan manusia.
“Lebih malang Islam yang dizalimi ini pula dituduh sebagai pengganas.
“Di mana mereka yang bertempik kuat menentang pengganas di Afghanistan dan Asia Barat dahulu, tetapi tidak bertempik pula terhadap keganasan yang sedang mengganas di Rohingya,” katanya.