Berita Utama

Selangor haram merokok, minum arak di taman awam

Saman maksimum RM1,000 kepada pengunjung ingkar larangan

BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Selangor mengharamkan perbuatan menghisap rokok termasuk rokok elektronik dan minum minuman keras di taman awam di seluruh negeri itu, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Beliau berkata, larangan baharu itu dimasukkan ke dalam senarai kesalahan Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor.

“Dengan pindaan UUK Taman 2005 ini, Selangor menjadi negeri yang pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman-taman permainan serta taman-taman rekreasi di seluruh negeri ini,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang berkenaan akan dilaksanakan oleh PBT dan saman maksimum sebanyak RM1,000 boleh dikenakan kepada pengunjung yang ingkar dengan larangan yang ditetapkan.

Katanya, penguat kuasa PBT akan mengadakan operasi dari semasa ke semasa dan orang ramai juga boleh membuat aduan kepada PBT sekiranya melihat salah laku berkenaan di taman awam.

“Sebagai permulaan, kita mungkin memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku,” katanya.

Sze Han berkata, taman permainan dan taman rekreasi kerap dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah, bersukan serta melakukan aktiviti kekeluargaan.

“Justeru, demi keselesaan dan kesihatan pengunjung lebih-lebih lagi pada pasca COVID-19, tiba masa untuk melarang aktiviti minum arak dan merokok di taman permainan dan taman rekreasi mengikut UUK Taman,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close