Berita Utama

Tiada kompromi isu berkait TH: ISMA

TH diasas untuk mudahkan umat Islam menabung tunai haji

BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana – menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur campur tangan pihak yang tiada hak dan kepentingan dalam urusan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menerusi kenyataan di Twitter, gerakan Islam utama itu berkata, ISMA akan sentiasa memerhati sebarang isu berkaitan TH, kerana fungsi dan peranannya khusus untuk umat Islam.

“Tabung Haji diasaskan untuk memudahkan umat Islam menabung bagi menunaikan haji, jadi ianya duit umat Islam dan harus diurus dan dikendalikan oleh orang Islam juga. 

“Tiada kompromi. Kami akan sentiasa memerhati tentang hal ini,” katanya, hari ini. 

Kenyataan ISMA itu sebagai mengulas kenyataan bertulis Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat, yang menafikan bahawa TH dikuasai oleh orang bukan Islam. 

Muhyiddin yang menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) berkata, TH kini mempunyai lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion. 

Katanya, kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion. 

Terdahulu, Mujahid bertanya mengenai kedudukan aset terkini TH serta adakah kerajaan terdahulu telah menjual banyak aset TH dan membiarkan TH dikuasai oleh orang bukan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button