Berita Utama

Ambil tindakan tegas pihak eksploitasi isu agama, kaum

Banyak negara perang saudara kerana berbalah faktor warna kulit

IPOH, 25 Jamadilawal 1444H, Selasa – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang meracuni fikiran serta membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama dan kaum melalui pandangan ekstrem.

Baginda bertitah, pandangan ekstrem berunsur perkauman dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama rakyat wajib dihentikan.

Segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetuskan pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai, titahnya.

“Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan. 

“Langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini. 

Titah baginda, banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, atas faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.

“Jika kita mahu memperbesar perbezaan, kita sebenarnya memilih membina tembok pemisah untuk tidak membenarkan terbinanya masyarakat yang bersatu, menerima dan meraikan perbezaan dan masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian.

“Oleh itu, setiap individu berperanan memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pelbagai agama terus dipupuk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, corak kepimpinan Rasulullah ﷺ ketika memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan berlainan agama di Madinah perlu dijadikan teladan.

Ini termasuk hikmah tersirat di dalam Perjanjian Hudaibiyah yang membuka jalan kepada pembebasan Makkah dan penyatuan perhubungan orang Islam dengan kabilah Arab lain yang membolehkan masyarakat hidup secara aman damai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button