Berita UtamaIstimewa

Cina bantah Jawi takut Melayu kembali zaman kegemilangan?

Tulisan Jawi adalah jati diri bangsa Melayu yang mesti dipertahan

BANGI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Pihak anti-Jawi didakwa hanya menggunakan tulisan khazanah kebangsaan itu bagi melariskan produk makanan mereka, namun menolak ketika ada usaha menghidupkannya.

Naib Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Mohd Rusdi Alias mendakwa, sikap mereka ini menunjukkan ada satu kerisauan besar apabila orang Melayu kembali kepada tulisan asal mereka.

“Ini akan mengembalikan orang Melayu kepada jati diri bangsa mereka dan keagungan sejarah Islam kerajaan Melayu yang memang menggunakan tulisan Jawi dalam urusan-urusan perdagangan dan politik antarabangsa mereka.

“Kembalinya orang Melayu kepada sejarah kegemilangan mereka adalah bahaya besar kepada penjajah.

“Penjajah bukan sahaja menjajah tetapi mereka menjarah sesuatu bangsa sehingga merancang untuk menghapus dan melupai asal usul kita iaitu sejarah kegemilangan Islam yang pernah dilalui oleh kesultanan Islam dari kerajaan-kerajaan Melayu di nusantara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat Rabu lalu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Ustaz Rusdi Alias yang juga pakar pengajaran Bahasa Arab, pengasas kaedah pusar dan cara mudah memahami bahasa al-Quran menegaskan, tiada sebab untuk pihak yang tidak selesa dengan usaha itu berasa ‘panas’

Beliau menegaskan bahawa tulisan Jawi adalah jati diri bangsa Melayu yang mesti dipertahankan dan sebahagian daripada bahasa Melayu yang tidak boleh dipisahkan lagi.

Jelasnya, Jawi adalah simbol utama bahawa bangsa Melayu ini telah menerima ajaran Islam kerana tulisan itu diambil dari tulisan al-Quran; dalam catatan hadis Nabi dan tulisan para alim ulama di dalam kitab-kitab yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia.

“Dari tulisan inilah berkembangnya agama Islam di seluruh pelusuk nusantara. Orang-orang Melayu di Thailand, Kemboja dan Filiphina masih lagi mengguna pakai tulisan Jawi untuk memahami ilmu-ilmu agama khususnya di dalam fardhu ain.

“Hilangnya tulisan Jawi bermakna akan terhakisnya sedikit demi sedikit jati diri orang Melayu. Kita akan mudah lupa kepada sejarah perjuangan para alim ulama dahulu di dalam menyampaikan agama ini melalui tulisan berkenaan kepada umat Melayu ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong dilaporkan mahu menentang sekiranya orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

“Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar,” kata Tong Keong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button