74 institusi pendidikan agama di Kedah tidak berdaftar: JHEAIK
Punca termasuk jumlah pelajar tak mencukupi, isu pemilikan tanah
SUNGAI PETANI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sebanyak 74 institusi pendidikan agama di Kedah didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), kata Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIK Syeikh Hasbullah Md Mukhtar.
Beliau berkata, ia merangkumi sekolah rendah Islam, maahad tahfiz, madrasah serta pondok yang membabitkan seramai 2,779 pelajar.
Katanya, jumlah pelajar tidak mencukupi, isu pemilikan tanah dan keselamatan bangunan tidak memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia antara faktor menyebabkan institusi terbabit tidak berdaftar dengan JHEAIK.
“Syarat itu ditetapkan dalam Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Kedah,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Datuk Najmi Ahmad meninjau pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Agama Daris, di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun 74 institusi itu belum berdaftar dengan JHEAIK, pihaknya membuat keputusan membenarkan kesemuanya beroperasi hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“JHEAIK juga telah memberikan taklimat kepada pihak institusi pendidikan agama ini mengenai SOP dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sebelum mereka dibenarkan beroperasi hari ini,” katanya. -Bernama