Berita Utama

Kerajaan Pusat hanya salur RM40 juta bantuan wang ihsan kepada Kelantan

MB berharap tinggi kerajaan dapat salurkan baki wang ihsan

BANGI, 12 Jamadilawal 1445H, Ahad – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, negeri itu hanya menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM40 juta daripada kerajaan Pusat setakat tahun ini.

“Memang dasarnya kita tuntut royalti. Tetapi sementara kita dapat royalti harap kerajaan Persekutuan salurlah wang ihsan terlebih dahulu,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata, jumlah yang diterima dilihat sangat berbeza berbanding sebelum ini iaitu RM331.38 juta pada tahun lalu.

“Untuk bantuan wang ihsan, kita mendapat sebanyak RM190.85 juta pada tahun 2020; RM201.04 juta pada 2021.

“Manakala tahun lalu kita mendapat RM331.38 juta dan tahun ini RM40 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi agar baki wang ihsan dapat disalurkan.

“Pihak kerajaan sehingga kini masih di peringkat rundingan dan bagi saya kita masih mempunyai peluang dan ruang memandangkan tahun ini kita masih berbaki satu bulan lagi. Sama-samalah kita berdoa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung jumlah wang ihsan yang disalurkan Kerajaan Pusat sejak 2020 sehingga tahun ini kepada Kelantan.

Katanya, menerusi perbincangan mesyuarat sebelum ini, pihaknya turut menyuarakan beberapa perkara dan mendapat reaksi positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita juga sudah mengutarakan berhubung kunjungan khas terhadap Perdana Menteri dan sudah menghantar surat, namun sehingga kini belum mendapat tarikh berhubung perkara itu.

“Jika tiada perjumpaan sekali pun, kita berharap baki wang ihsan itu dapat disalurkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button