COVID-19: Lima kes baharu, empat daripadanya penularan tempatan
Jumlah kumulatif kes sebanyak 8,734 dengan kebolehjangkitan 86
KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sebanyak lima kes COVID-19 baharu dilaporkan hari ini dengan empat daripadanya membabitkan kes penularan tempatan manakala satu lagi kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes di Malaysia kini sebanyak 8,734, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 86 kes.
Katanya, kes import berkenaan membabitkan seorang warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.
“Bagi kes penularan dalam negara, satu melibatkan bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.
“Tiga lagi kes, melibatkan warganegara iaitu satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala dua lagi masing-masing di Sarawak, membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,732) dan satu kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, hari ini juga tiada kes kematian direkodkan, dengan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Katanya, dua kes pulih direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,526 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Selain itu, katanya, terdapat lima kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. -Bernama