Berita Utama

Jawi: Ingatan untuk GERAKAN, cermin diri atau ‘berhijrah’

Sibuk jadi juara, konon bersaing siapa dekat dengan DAP

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Parti berasaskan kaum Cina seperti GERAKAN dan MCA boleh dikatakan ‘juara’ apabila berebut kerusi majoriti kawasan Melayu ketika pilihan raya. 

Sebaliknya, dalam isu umat Islam dan Melayu, mereka bukan menyokong dan mempertahankan, malah menghina bangsa majoriti di tanah air ini, kata Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim.

“Jelas, baik MCA mahupun GERAKAN ingin menjadi juara kaum Cina, dalam persaingan untuk menjadi siapa lebih dekat dengan DAP.

“Sudah-sudah lah. Sikap ini memalukan GERAKAN sendiri. Tulisan Jawi lantang mereka bantah. Tapi tulisan Jawi dalam pensijilan halal kenapa sibuk nak guna? 

“Patutkah sijil halal JAKIM ini diberikan kepada pengusaha muslim sahaja?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, GERAKAN melatah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan kempen Hari Jumaat sebagai Hari Jawi, dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Tidak berpuas hati dengan pengumuman itu, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong menegaskan akan menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi. 

“Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir. 

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar,” dakwa Tong Keong.

Mengulas lanjut, Ustaz Omar berkata, kenyataan tersebut menunjukkan GERAKAN sebuah parti politik bangsa Cina yang tidak faham asas kenegaraan Malaysia. 

“Memartabatkan tulisan Jawi adalah hak orang Melayu. Ini negara tanah Melayu. Isu tulisan Jawi adalah tulisan keramat bangsa Melayu. Kenapa mereka terus mempertikaikan?

“Yang mempertikaikan tulisan Jawi sepatutnya cermin diri nak jadi warganegara Malaysia atau lebih baik berhijrah,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button