Berita Utama

Kenyataan kontroversi kes Adib, PEMBELA desak Hamid Bador letak jawatan

KPN ikut jejak Tommy Thomas langkaui keputusan inkues?

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – “Adakah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mahu mengikut jejak langkah Tan Sri Tommy Thomas?

“Adakah dia nak membantu atau merosakkan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim? 

Demikian persoalan Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat susulan kenyataan Abdul Hamid baru-baru ini yang dilihat bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Abdul Hamid merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah Muhammad Adib dibunuh, hanya kerana dua orang pegawai bomba yang bersama Adib pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.

Walhal, pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Ustaz Masridzi yang kesal dengan keadaan itu berkata, kini dapat dilihat kehebatan institusi undang-undang mahupun institusi keselamatan sedang menuju ke arah korupsi.

“Sebelum ini kita dapat lihat Peguam Negara telah melangkaui keputusan inkues. Kini sama juga dengan KPN sekarang. Adakah KPN nak ikut jejak langkah Peguam Negara?,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Ustaz Masridzi menegaskan, amat mustahil Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memiliki kredibiliti serta kecekapan tinggi tidak dapat menyelesaikan kes ini kerana kes pembunuhan arwah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pun mampu diselesaikan.

“Dengan kecekapan PDRM, boleh mengesan, soal siasat saksi kes pembunuhan, boleh dapatkan bukti, sehingga akhirnya mereka dibuktikan bersalah dan terima hukuman.

“Ini menunjukkan kredibiliti PDRM sangat hebat. Tetapi kes Muhammad Adib ini pula dengan ada videonya, polis, fru ada di tempat kejadian, namun pelakunya masih terlepas.

“Terdapat kecuaian pihak polis dalam mengawal rusuhan yang berlaku. Perusuh Hindu memukul arwah Adib. Saya sendiri mendengar di dalam mahkamah.

“Bagaimana tiba tiba dalam siasatan, polis gagal mencari, menangkap sehingga melepaskan mereka,” soalnya yang bimbang dengan hala tuju kes ini.

Ustaz Masridzi yang juga Ketua Keselamatan dan Sosial PEMBELA berkata, tidak dapat difahami apa yang sebenarnya mahu ditunjukkan oleh KPN dalam kes ini kerana kenyataannya amat mengguris hati ramai pihak.

“Kenyataannya beliau luar biasa pelik. Apakah sekarang beliau nak menunjukkan kewibawaan PDRM atau sebenarnya tiada daya upaya lagi?

“Kita syorkan KPN letak jawatan. Kita syorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) lantik KPN baru. Rakyat bukan bodoh, kami sedang menilai.

“Sepatutnya KPN patuhi Mahkamah Koroner untuk menangkap, menahan suspek. Ini apa punya kerja KPN. Sekarang olah-olah nak kata bukti tak ada? Jangan sakitkan hati kami lagi, jangan sakitkan hati keluarga serta penjawat awam lain. Dulu AG dah buat kami terluka, sekarang KPN pula?,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close