Berita Utama

KPN kena tangkap semula suspek kes bunuh Adib, jangan buat andaian sendiri

Kenapa bapa arwah Adib, beberapa saksi lain tidak dipanggil?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador sepatutnya mengarahkan siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diteruskan sebagaimana yang dikeluarkan oleh Mahkamah Koroner. 

Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perkara paling penting sekarang adalah menangkap semula suspek-suspek yang pernah dilepaskan dahulu, tanpa membuat kesimpulan, andaian serta berdolak-dalik.

Katanya, terdapat keterangan daripada tiga saksi utama berbangsa India yang menyatakan bahawa ada yang melihat aksi dan gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh sekumpulan 20-30 orang lelaki yang sedang mengerumuni Adib, di samping mendengar ayat dalam bahasa Tamil seperti “bodoh, bomba pun mau pukul ke?” “Jangan pukul!” dan “Berani kamu Melayu masuk kawasan sini”.

Sebelum ini, Abdul Hamid menegaskan, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Allahyarham Adib dipukul dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat ‘hearsay’ serta berupa pendapat.

“Dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah secara konsisten mengatakan mereka tidak nampak siapa yang memukul dan mencederakan Muhammad Adib.

“Sekiranya benar berlaku serangan sepertimana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pakar, pasti wujud kesan-kesan serangan dan pasukan siasatan masih memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar,” katanya.

Sebaliknya, barisan peguam yang mewakili keluarga Adib berkata, tidak adil Abdul Hamid merumuskan tiada keterangan yang dapat mengaitkan pembunuhan anggota bomba itu hanya kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.

“Dakwaan ini sudah dijawab dalam inkues dan tindakan Abdul Hamid menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan keterangan dan bukti yang ada.

“Ketika Muhammad Adib ditarik dan diserang, dia berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan disebabkan hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya dan adalah mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang sekali gus menjelaskan mengapa tiada sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) juga terkejut dengan dakwaan kononnya KPN telah memanggil kesemua 30 saksi inkues.

Abdul Hamid menyatakan, polis merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika ikues kematian Adib termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah ketika kejadian, serta 52 saksi baharu.

Bagaimanapun, Haji Aminuddin mempersoal sama ada benar 30 saksi telah dipanggil semula oleh PDRM ataupun tidak.

“Sekiranya benar, kenapa bapa arwah Adib dan beberapa saksi yang lain tidak dipanggil?

“PEMBELA merasakan kenyataan KPN ini tidak wajar seolah-olah membelakangi bukti-bukti yang diberikan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Krooner sebagaimana yang telah dijelaskan oleh barisan peguam keluarga Allahyarham Adib,” katanya. 

Justeru, Haji Aminuddin berkata, Abdul Hamid perlu memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Adib kerana kenyataan beliau telah menyinggung perasaan mereka dan juga rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini.

Pada masa sama, Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara juga perlu mengambil sikap lebih serius untuk menyelesaikan kes ini demi keadilan membabitkan nyawa penjawat awam.

“Semua yang terlibat perlu telus bagi menyelesaikan kes ini seadilnya untuk menjaga kewibawaan dan integriti pihak berkuasa.

“PEMBELA akan terus bersama rakya dalam memantau rapat kes ini dan memberi sokongan padu kepada keluarga Allahyarham Adib agar keadilan dapat ditegakkan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close