Berita Utama

Pemandu mabuk bakal dipenjara 20 tahun, denda RM150,000

Pindaan Akta 333 bukti kerajaan serius tangani isu pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 kepada pemandu mabuk.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan sekiranya Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau berkata, individu yang disabitkan dengan penyalahgunaan had kandungan alkohol itu juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

“Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.

“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

“Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Ka Siong berkata, hukuman baharu itu membabitkan pindaan Seksyen 41 hingga 45 Akta 333 yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

“Saya memberi sedikit gambaran apa yang dipinda nanti sudah tentu tempoh penggantungan lesen (memandu), kadar denda dan hukuman penjara akan dikenakan manakala penjara akan dicadangkan sebagai hukuman mandatori,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan Akta 333 yang bakal dipinda memperluas bidang kuasa penguatkuasaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berbanding hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini.

Meskipun mengakui pihak polis menjalankan tugas dengan baik, Ka Siong menegaskan, bidang kuasa turut wajar diberikan kepada pegawai JPJ bagi menguatkuasakan undang-undang.

“Kabinet setuju memperluaskan penguatkuasaan kepada JPJ menangkap mereka yang mabuk,” katanya.

Katanya, kerajaan bersedia menurunkan had kandungan alkohol dibenarkan ketika memandu mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Daripada 35 mikrogram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 80 mg alkohol dalam 100 ml darah atau 107 mg alkohol dalam 100 ml air kencing kepada 22 mg alkohol dalam 100 ml nafas; 50 mg alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing,” katanya.

Selain itu, Ka Siong berkata, Jabatan Peguam Negara telah menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan akan dibentangkan untuk persetujuan Kabinet pada 17 Julai ini, sebelum dibentang ke Parlimen.

Ketika sidang media selepas itu, beliau berkata, pindaan Akta 33 adalah bukti kerajaan serius menangani isu pemandu mabuk, termasuk yang menyebabkan kematian.

“Amaran kita, kalau sudah mabuk dan mengambil alkohol jangan memandu. Kita tak cabuli hak orang ramai, ini bagi mereka yang minum, kalau minum jangan bawa (kenderaan),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button