Berita Utama

Pilihan raya PBT bazir wang rakyat, lemahkan kuasa kerajaan negeri

KPKT patut bantu tingkatkan kecekapan PBT dari aspek pengurusan jalan raya, tempat awam dan pengurusan sisa pepejal

BANGI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Tiada manfaat untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan usul cadangan pilihan raya kerajaan tempatan, yang kelak hanya mengorbankan banyak wang rakyat.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof yakin tidak ada asas kukuh untuk menyokong alasan bagi cadangan menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan – yang dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT.

“Kos yang disebutkan ini adalah kos yang sangat minima. Dipercayai kos sebenar jauh lebih tinggi.

“Tambahan pula kos yang dijangkakan itu belum mengambil kira aspek perbelanjaan yang ditanggung oleh parti-parti dan calon-calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPKT sebelum ini menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sejak 2018 sehingga kini, pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Katanya, jawatankuasa polisi terdiri daripada pegawai dan agensi kerajaan untuk mempertimbangkan isu berkenaan perundangan, implikasi kewangan dan kaedah serta mekanisme pelaksanaan.

Dr Muhammad Fathi yakin pilihan raya kerajaan tempatan jika diadakan akan melemahkan fungsi dan kuasa kerajaan negeri, bahkan katanya, di beberapa negeri tidak mustahil akan berlaku pentadbiran kerajaan tempatan di ibu negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

“Dalam keadaan sistem federalisme yang mengehadkan kuasa kerajaan negeri kepada skop kuasa yang sedia terhad, kehilangan kuasa langsung ke atas kerajaan tempatan akan melemahkan kerajaan negeri. Jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, timbul persoalan berkaitan siapakah sebenarnya yang layak mengundi.

“Jika kelayakan mengundi hanya diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dalam sempadan sesuatu kerajaan tempatan, ia merupakan diskriminasi kepada ‘penduduk siang’ iaitu mereka yang datang dari luar tetapi bekerja di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya ‘penduduk siang’ ini banyak memberikan sumbangan kepada kemakmuran sesuatu kerajaan tempatan dan akan menerima kesan langsung akibat pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan.

“Oleh itu, ringkasnya tidak ada manfaat yang jelas untuk diteruskan cadangan pilihan raya kerajaan tempatan.

“KPKT sepatutnya menumpukan usaha untuk membantu dan membimbing usaha untuk meningkatkan kecekapan PBT dari pelbagai sudut termasuklah dalam pengurusan jalan raya, tempat awam dan pengurusan sisa pepejal,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close