Berita Utama

113 rakyat Malaysia terkandas di Oman selamat tiba di tanah air

Kos tiket ditanggung sepenuh secara persendirian

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Seramai 113 rakyat Malaysia yang terkandas di Kesultanan Oman akibat pandemik COVID-19 selamat tiba di tanah air, awal hari ini, menurut Wisma Putra. 

Kementerian Luar Negeri berkata, ke semua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.55 pagi ini, menerusi penerbangan sewaan khas Malindo Air.

Katanya, kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia ini termasuk 54 orang yang menyuarakan masalah mereka menerusi media sosial kerana kehilangan punca pendapatan selama hampir empat bulan terkandas akibat penangguhan operasi di negara berkenaan. 

Kementerian itu berkata, kepulangan mereka dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sepenuhnya secara persendirian.

“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kesultanan Oman yang telah membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air. 

“Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button