Berita Utama

Aset TH terdedah kepada risiko pelaburan

Kerajaan akan sentiasa pantau, menilai prestasi pelaburan TH

KUALA LUMPUR, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Lembaga Tabung Haji (TH) melabur dalam pelbagai kelas aset yang terdiri daripada aset pendapatan tetap (sukuk), ekuiti, hartanah serta instrumen pasaran yang kesemuanya terdedah kepada risiko pelaburan.

Antara risiko berkenaan ialah perubahan ‘fundamental’ (asas) perniagaan sesebuah syarikat serta naik turun pasaran di dalam serta luar negara.

Penjelasan itu dibuat menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Bin Abdul Hamid (PH) di Dewan Rakyat yang meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pelaburan milik TH yang kini menjadi liabiliti.

“Sebagai contoh, wabak COVID-19 memberi kesan negatif kepada kedudukan ekonomi dan pasaran seluruh dunia, temasuk Malaysia, yang akan turut mempengaruhi pelaburan TH.”

Selain itu, pelaburan TH juga disandarkan kepada Strategi Aset Alokasi (SAA) yang berteraskan pelaburan patuh Syariah yang memberi pulangan stabil dan mampan.

Pecahan itu merangkumi aset pendapatan tetap sebanyak (55 peratus), ekuiti (25 peratus), hartanah (15 peratus) dan instrumen pasaran wang (5.0 peratus).

Dalam pada itu, kerajaan juga akan sentiasa memantau dan menilai prestasi pelaburan TH berikutan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam terbesar serta memainkan peranan yang signifikan, khususnya dalam memegang amanah pendeposit-pendeposit umat Islam.

“Justeru, segala pelaburan dan urus niaga yang dijalankan oleh TH akan sentiasa akan diteliti oleh kerajaan.” – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close