Berita Utama

COVID-19: Malaysia catat 2 kes penularan dalam negara

3 kes baharu dicatatkan hari ini, 1 daripadanya diimport

PUTRAJAYA, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Sebanyak tiga kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan satu kes import dan dua kes penularan di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia kini sebanyak 8,737 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 77 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua kes penularan di dalam negara melibatkan warga asing iaitu satu kes di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Jalan Duta di sini dan satu lagi melibatkan saringan di tempat kerja yang dijalankan majikan di Sarawak.

“Satu kes import yang dilaporkan melibatkan warganegara Malaysia yang telah mendapat jangkitan di luar negara,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 12 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,538 kes iaitu 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, terdapat tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal pada 122 kes atau 1.39 peratus daripada keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button