Berita Utama

Gaya politik tak beragenda mesti diubah demi anak bangsa

Ahli politik Melayu sudah rosak, sikap tamak kuasa telah 'halalkan' segala-galanya

MAQASID Syariah khusus untuk pemerintah ialah memelihara agama dan mentadbir dunia yang menjadi tempat kehidupan beragama.

Tanggungjawab memelihara agama dilaksanakan dari dua sudut; membina insan beragama melalui proses pendidikan sepanjang hayat dan menguatkuasakan undang-undang yang boleh mencegah daripada merebaknya cara hidup yang meruntuhkan agama di sisi individu dan masyarakat.

Apabila bercakap tentang pemerintahan Islam, ramai orang menekankan tentang aspek pencegahan maksiat dan penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam. Sebenarnya penekanan satu sudut ini secara berlebihan telah mencacatkan wajah Islam yang sepatutnya indah.

Realiti anak muda kita pada hari ini sepatutnya menyentap rasa cemas dan gelisah para pemimpin muslim. Mereka perlukan program pembinaan jati diri yang terancang. Saya tidak maksudkan di sini hanya membentuk mereka menjadi anak soleh yang tekun mengikuti kuliah di masjid, malah lebih daripada itu.

Ekonomi kita dipegang oleh kaum lain. Ahli politik orang Melayu pula sudah rosak. Sikap tamak kuasa telah ‘menghalalkan’ segala-galanya. “Apa yang aku dan parti aku dapat?” adalah perhitungan yang dominan di minda ahli politik Melayu.

“Adakah perkara ini boleh menjadikan aku dan parti aku popular dan disukai ramai anak muda?”, “Berapa projek ini boleh bagi duit untuk aku dan bahagian aku?” atau “Biarlah anak muda dengan keseronokan mereka, asalkan mereka sokong parti kita”.

Inilah gaya politik tidak beragenda. Tidak ada hala tuju. Misi hanya sekadar rebut kuasa. Selepas berkuasa, pastikan kuasa kekal, dengan apa cara sekali pun. Itu saja.

Gaya politik tidak beragenda sebegini perlu diubah. Untuk mengubahnya, kita perlu lahirkan bakal pemimpin dalam kalangan generasi muda melalui program pembangunan insan yang berkesan.

Tetapi pemimpin berkualiti tidak lahir daripada vakum. Pemimpin lahir daripada masyarakat. Jika kita mahu pemimpin yang beragenda, kita kena bekerja keras juga untuk melahirkan masyarakat yang beragenda.

Agenda maksudnya mempunyai cita-cita dan aspirasi yang besar, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk kedaulatan watan dan bangsa. Pengikut yang tidak punya agenda, ertinya mudah dilalaikan oleh pihak yang berkepentingan.

Di sinilah kita lihat perbezaan parti politik berorientasikan Melayu dan Islam, berbanding yang berorientasikan pemikiran liberal dan sekular.

Baru-baru ini ada program Parlimen Digital. Satu inisiatif untuk merekrut anak muda ke kem sekolah politik demokrasi liberal. Mereka serius dengan projek masa depan mereka. Mereka serius untuk menjadikan anak kita sebagai pemimpin dan pengikut agenda liberal mereka.

Malangnya, tak kedengaran program rekrutmen besar-besaran ke kem sekolah politik aliran Islam dan Melayu.

Kita akan berhadapan dengan 7.8 juta pengundi baharu, anak muda berusia 18 hingga 21 tahun, yang secara automatik menjadi pemilih. Pemilihan mereka sudah tentu berdasarkan cara fikir mereka sekarang.

Pendekatan populis untuk meraih sokongan anak muda ini ialah dengan memberikan apa yang mereka suka. Sebagai contoh karnival e-sport. Kita mungkin dapat undi mereka, tetapi kita mengabaikan tanggungjawab membina jati diri mereka agar menjadi pemimpin dan pengikut yang beragenda.

Pendidikan untuk membina insan beragama dan beragenda perlu holistik. Bukan prosesnya kuliah agama di masjid sahaja. Bukan sekadar di sekolah. Pendidikan melibatkan proses formal, non formal dan informal. Malah, menganjurkan karnival e-sport itu sendiri secara informal mendidik anak muda dengan nilai hidup pasif dan kepengikutan hedonisme.

Di luar sana, ramai yang berbincang tentang hukum e-sport. Tetapi hampir semuanya melupakan maqasid di sebalik hukum. Umpama membincangkan sah solat tanpa khusyuk, tetapi kita terlupa tidaklah disyariatkan solat itu melainkan untuk mengingati Allah. Tidak hairan jika solat tidak berbekas pada akhlak.

Kita tidak membincangkan tentang hukum halal haram e-sport di sisi individu, tetapi kita memikirkan implikasi di peringkat umat keseluruhannya pada masa akan datang, dalam situasi masa kini yang tenat dengan pelbagai gejala sosial.

Fenomena negatif inilah yang disindirkan oleh puak yang mendakwa dirinya sebagai muslim progresif dan demokrat, bahawa Islamis selama ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam mengisi agenda bangsa, hanya sekadar laungan retorik negara Islam, yang hakikatnya apabila memerintah tidak jauh berbeza dengan orang lain.

Alangkah bagusnya jika dianjurkan program pertandingan usahawan tani peringkat kampung dan daerah, sebagai contoh, melibatkan anak-anak semuda usia belasan tahun. Malah debat tentang dasar negara lagi bagus.

Tulisan ini hanyalah sebagai renungan, bagi mereka yang ada rasa insaf dan membuang rasa ego, untuk bermuhasabah.

Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close