Berita Utama

GERAKAN tuduh Hari Jawi agenda Islamisasi cabar bukan Islam

Bidas PAS bangkit kebencian kaum, tak hormati Perlembagaan

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Keputusan kerajaan Persekutuan melaksanakan Hari Jawi pada setiap Jumaat terus mendapat tentangan terutamanya ultra kiasu.

Terbaharu, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong memberi amaran kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dari PAS untuk tidak bertindak secara berlebih-lebihan setelah Hari Jawi diluluskan Kabinet.

Tong Keong turut mengingatkan Sabri supaya tidak menceroboh hak orang bukan Islam.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan hak semua kaum dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152.

Katanya, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala bahasa ibunda kaum lain boleh dipelajari, diguna dan dikembangkan.

“Demi mencapai matlamat agenda Islamisasi mereka, pemimpin PAS berkali-kali membelakangi dan melanggar semangat Perlembagaan, terus-menerus menggunakan kuasa kerajaan, mengambil kesempatan dan selangkah demi selangkah melaksanakan muslihat politik mereka, ini telah mencabar masyarakat bukan Islam secara total,” katanya seperti dilapor laman kwongwah.com.my.

Sebelum ini, Tong Keong mendakwa, selepas PAS mengambil alih pucuk kepimpinan Kelantan dan Terengganu, kedua-dua buah negeri itu berkongsi agenda sama iaitu menginginkan pentadbiran berlandaskan sistem Islam.

Malah, Tong Keong turut menyifatkan, PAS semakin teruk setelah menyertai gabungan bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dakwanya lagi, parti berkenaan hanya tertumpu kepada agenda mereka tanpa mempedulikan hak kaum lain, selain ia dilihat mengambil kesempatan ketika suasana politik negara tidak stabil ketika kini.

Katanya, sekiranya perkara berkenaan berterusan berlaku, keyakinan rakyat akan musnah.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa, PAS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan di luar konteks, di mana dengan sengaja memutar-belit fakta, bermain emosi rakyat berbilang kaum, membangkitkan percanggahan dan kebencian antara kaum.

Tong Keong berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya sikap rasis PAS yang memecah-belahkan rakyat.

Terdahulu, Sabri berkata, kerajaan wajar menjadikan Jawi sesuatu yang ‘biasa’ untuk rakyat berbilang kaum di negara ini selain menyifatkan tulisan itu mampu dipelajari oleh semua kaum dan bukan hanya untuk kegunaan komunikasi orang Islam.

Mengulas lanjut, Teong Kong berkata, kenyataan Sabri jelas menceroboh hak dan kepentingan orang bukan Islam, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan dengan terbuka ‘mempengaruhi’ keputusan kerajaan agar pengunaan Jawi turut melibatkan kaum lain.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), adalah tidak wajar untuk Sabri mencampur-adukkan politik dengan bidang kerja lain.

“Tindakan Sabri membuktikan dia tidak lagi sesuai menjawat jawatan pengerusi untuk institusi ini (ITBM), KPM wajar segera memecatnya dari jawatan tersebut, selain memberinya amaran supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan kaum lain.

“GERAKAN berasa kesal atas tindakan PAS yang terus membangkitkan isu agama yang sensitif, dan berharap PN dapat melaksanakan dasar yang telus dalam usaha mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum, sekali gus membina sebuah negara pelbagai kaum yang adil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button