Berita Utama

Hukum mati pemabuk satu cabaran khusus cari bahan bukti: Pakar

Kadar hukuman dicadangkan kerajaan meningkat ketara, tinggi

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Cadangan kerajaan untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda RM150,000 dilihat sedikit sebanyak membantu membendung pemanduan mabuk.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan sekiranya Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pakar Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Kecederaan Kanak-Kanak Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata, perundangan di negara ini menjadi lebih ketat apabila hukuman penjara dikenakan kepada pemandu mabuk yang sebelum ini hanya maksimum 10 tahun berbanding dua kali ganda kelak.

“Kalau dulu denda hanya RM20,000, kini jumlah itu dinaikkan hampir tujuh kali ganda iaitu sebanyak RM150,000.

“Malah, dari segi ‘suspend’ (penggantungan) lesen memandu juga meningkat dari 10 tahun kepada 20 tahun. Ini satu peningkatan ketara dan terlalu tinggi mereka (kerajaan) naikkan hukuman,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Kulanthayan berkata, perundangan berkenaan bukan hanya tertakluk kepada pemanduan mabuk sahaja, malah turut membabitkan penggunaan dadah dan memandu secara merbahaya.

“Jadi, peningkatan hukuman dilakukan kerajaan ini satu langkah yang baik kerana mereka ‘cover’ ketiga-tiga (pemanduan mabuk. penggunaan dadah, memandu secara merbahaya).

“Ini bermaksud kita dapat memastikan penggunaan jalan raya selamat untuk semua kerana ia dapat membendung ketiga-tiganya,” katanya.

Mengulas mengenai hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan pengguna jalan raya lain, beliau mengingatkan bahawa terdapat keperluan untuk membuktikan suspek sememangnya mempunyai niat untuk membunuh di mahkamah.

“Dan ia akan menjadi satu cabaran. Pemanduan alkohol adalah di bawah pengaruh. Jika di bawah pengaruh kita tidak mampu untuk ‘concentrate’ di jalan raya dan tidak sedar melanggar orang lain selain menyebabkan mangsa meninggal dunia.

“Ini hampir sama dengan penggunaan telefon bimbit dan tidak sengaja melanggar kanak-kanak sehingga meninggal, sebagai contoh.

“Kalau kenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk, ia perlu disertai dengan kesalahan-kesalahan lain yang memberi kesan sama termasuk penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan memandu melebihi kelajuan,” katanya.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala, bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button