Berita Utama

Malaysia timbang perluas bahagian khas berkaitan Palestin di Kaherah

Bagi mudahkan usaha salurkan bantuan kepada rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Kerajaan merancang untuk memperluaskan bahagian khas berkaitan isu Palestin yang sedia ada di Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir bagi memudahkan usaha memberi bantuan kepada rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata cadangan itu dipertimbangkan sekiranya hasrat untuk mewujudkan pejabat perwakilan diplomatik Malaysia ke Palestin di Amman, Jordan tidak berhasil.

“Kerajaan kita sejak beberapa tahun lalu sudah mempunyai bahagian khas tentang Palestin di kedutaan kita di Kaherah. Kemudian ada cadangan supaya kita wujudkan kedutaan khusus di Amman, Jordan.

“Kerajaan dan Wisma Putra memutuskan walaupun tidak ada satu kedutaan khusus, tertakluk kepada pendirian kerajaan tuan rumah, maka satu bahagian khas tentang Palestin ini akan diwujudkan lebih besar daripada yang ada di kedutaan kita (Malaysia) di Kaherah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul kamar khas Dewan Rakyat yang dibawakan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai tindakan kerajaan terhadap rancangan pengilhakan oleh Israel ke atas Tebing Barat dan Lembah Jordan dalam jajahan negara Palestin.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata Malaysia sentiasa konsisten dalam membantah dan mengutuk keras apa juga tindakan Israel yang ingin mengganggu-gugat hak dan keamanan rakyat Palestin.

Terdahulu, antara cadangan yang dikemukakan Syed Ibrahim ialah Malaysia, melalui Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar mengusir Israel daripada perhimpunan agung PBB dan semua agensinya kerana kegagalan negara memenuhi kewajipan sebagai anggota PBB.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar diadakan satu petisyen yang ditandatangani semua ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak untuk memberi satu isyarat jelas membantah rancangan itu, selain mencadangkan agar petisyen tersebut dikemukakan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini dan PBB.

Usul itu turut disokong oleh Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button