Berita Utama

Menteri jamin RCI Tabung Haji diteliti

Perkara itu akan teliti dengan penuh adil, amanah: Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Isu melibatkan pengurusan Tabung Haji (TH) memang menjadi perhatian dalam kalangan umat Islam dan ia turut menjadi antara topik hangat pada perbahasan sidang Dewan Rakyat kali ini.

Bagi mengelak polemik berpanjangan, beberapa Ahli Parlimen mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu TH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memberi respons positif kepada permintaan tersebut.

Menerusi catatan di Facebook miliknya, Dr. Zulkifli memberi jaminan yang beliau akan meneliti permintaan tersebut dengan penuh teliti dan amanah.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dr Asyraf. Insya-Allah saya akan teliti dengan penuh adil dan amanah,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

Cadangan itu diutarakan Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sewaktu mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan mesyuarat Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, pada persidangan Dewan Rakyat.

Desakan itu turut disuarakan beberapa lagi Ahli Parlimen antaranya Ahli Parlimen BN-Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button