Dunia

Israel serbu Tebing Barat, tembak mati remaja Palestin

Dua lagi penduduk ditahan kononnya disyaki serang peneroka haram

BAITULMAQDIS, 5 Safar 1445H, Selasa – Seorang remaja Palestin terbunuh dalam serbuan dilakukan pasukan keselamatan Israel di sebuah bandar di utara Tebing Barat yang diduduki.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan kematian Othman Abu Kharj, 17, akibat ditembak di kepala ketika tentera pengganas Israel menyerbu bandar Zababdeh di selatan Jenin, awal pagi ini.

Serbuan itu dilakukan ketika pasukan keselamatan Israel masih mencari lelaki bersenjata Palestin yang didakwa melakukan tembakan di bandar Hawara sehingga mengakibatkan kematian dua beranak warga Israel pada Sabtu.

Dalam serbuan berasingan di wilayah sama, dua rakyat Palestin ditahan kerana disyaki menembak mati seorang peneroka haram Israel berhampiran Hebron di Tebing Barat, di mana keganasan meningkat sejak awal tahun ini.

Batsheva Nigri, 40, terbunuh pada pada Isnin selepas ditembak ketika menaiki kereta bersama anak perempuannya dan seorang lelaki berhampiran Hebron.

Tentera Israel mendakwa, anak perempuan Nigri tidak cedera, namun lelaki yang bersamanya dilaporkan kritikal.

Susulan serangan itu, dua penduduk Palestin di Hebron yang disyaki sebagai pelaku tembakan telah ditangkap selepas tentera pengganas Israel melakukan sekatan jalan raya di sekitar tempat kejadian dan memburu suspek secara besar-besaran.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button