Berita Utama

Pemandu mabuk: Hukuman cadangan kerajaan masih ringan

Tidak sesuai libatkan kemalangan ragut nyawa pengguna jalan raya

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Cadangan kerajaan untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda RM150,000 bagi membendung kes pemandu mabuk, dilihat lebih baik berbanding undang-undang sedia yang sudah tidak relevan dan lapuk. 

Bagaimanapun, kadar hukuman berkenaan masih dilihat tidak setimpal dan hanya wajar kepada kes pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan dan kecederaan sederhana, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin. 

Beliau berkata, kadar hukuman dan denda itu masih dianggap ringan bagi kes kemalangan yang menyebabkan kecacatan kekal atau kematian pengguna jalan raya lain. 

“Ia (hukuman) lebih baik daripada hukuman sedia ada yang lapuk, namun hanya wajar untuk kes yang membabitkan kecederaan sederhana. 

“Bagaimanapun, ia masih (hukuman) ringan dan tidak mencukupi untuk kemalangan yang melibatkan kematian atau kecederaan kekal (lumpuh),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membendung kes pemanduan mabuk. 

Ka Siong berkata, cadangan itu akan dimuktamadkan sekiranya Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). 

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Rakyat sebelum ini, mendesak kerajaan supaya mengkaji semula hukuman ke atas pemandu mabuk, dan mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman mati bagi individu yang menyebabkan kematian. 

Bagaimanapun, desakan itu tidak dipersetujui Ka Siong kerana berpendapat kes berkenaan perlu mengikut lunas undang-undang. 

Bahkan, Ka Siong turut meminta masyarakat supaya tidak terburu-buru mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close