Berita Utama

Perlis benar jemaah bawah 18 tahun di masjid

Kebenaran dapat perkenan Raja Perlis berkuat kuasa serta-merta

ARAU, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Perlis membenarkan individu berumur 18 tahun ke bawah menyertai solat berjemaah di semua masjid di negeri itu, berkuat kuasa serta-merta.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kebenaran itu mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah melihat perkembangan positif situasi semasa wabak COVID-19.

Solat berjemaah (kecuali solat Jumaat) dan aktiviti pengimarahan di surau-surau sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) juga dibenarkan, terhad kepada warga sekolah dan IPT, titah Raja Muda Perlis dalam kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah pihak pengurusan sekolah dan IPT bertanggungjawab memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan berada pada tahap maksimum.

Kebenaran ini diberi bagi membolehkan semua umat Islam, tanpa mengira peringkat usia, dapat menunaikan ibadah dan mengimarahkan masjid di seluruh Perlis, titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button