Berita Utama

Pilihan raya PBT panjangkan dasar ‘pecah perintah’ penjajah: PAS

Melayu, Islam perlu diberi keutamaan imbangi perpaduan negara

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya menyebabkan penguasaan kaum di sesuatu tempat, sekali gus memanjangkan lagi dasar ‘pecah perintah’ yang ditinggalkan penjajah dahulu, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad. 

Justeru, PAS tegas membantah rancangan pilihan raya berkenaan, sebagai merujuk jawapan balas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, katanya. 

Kelmarin, Zuraida dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan usul pilihan raya kerajaan tempatan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021. 

Beliau berkata, kementeriaannya sejak 2018 – ketika bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) – menyediakan kertas Kabinet dan menubuhkan dua jawatankuasa bagi tujuan itu. 

Bahkan, Zuraida turut mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak bersetuju dengan cadangan itu – ketika berada dalam Kabinet PH. 

Kamaruzaman berkata, terdapat perbezaan ketara komposisi masyarakat Melayu, Cina dan India di negara ini, terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar.

“Contohnya, kaum Melayu atau Bumiputera sekadar menguasai bandar seperti Baling Kedah, Gua Musang Kelantan, Lubuk Antu Sarawak dan sebagainya.

“Ada pun bandar-bandar pesat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dikuasai oleh masyarakat bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Bukan hanya menyebabkan penguasaan kaum, Kamaruzaman berkata, pelaksanaan pilihan raya PBT juga bakal mengakibatkan pembaziran wang rakyat, apatah lagi ketika negara dalam fasa pemulihan semula ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

“Menurut YB Menteri sendiri, kos minima bagi setiap PBT adalah sebanyak RM2 juta bersamaan RM308 juta yang merangkumi keseluruhan 154 PBT.

“Sudah tentu kos sebenar adalah lebih tinggi dengan mengambil kira aspek perbelanjaan yang bakal ditanggung oleh setiap yang bertanding,” katanya.

Pada masa sama, Kamaruzaman berkata, PAS tetap tegas dalam memelihara keistimewaan kaum Melayu sebagai masyarakat majoriti di negara ini. 

“Keharmonian dan kestabilan sesebuah negara terletak pada agama serta majoriti kaum yang menjadi penduduk dalam negara tersebut. 

“Maka dalam konteks ini, sudah pasti masyarakat Melayu Islam perlu diberikan keutamaan dalam mengimbangi perpaduan negara.

“Lihat sajalah apa yang berlaku apabila penguasaan DAP dan PKR dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button