PN tak sempurna, perlu dikritik jangan jadi BN
Kini bukan masa untuk fikir dalam lingkungan parti semata

BANGI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna dan memerlukan kritikan membina untuk berubah ke arah lebih baik supaya tidak berpatah balik seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, rakyat perlu berfikir ke depan dan bukan hanya berasa seronok dengan kerajaan sedia ada walaupun tidak lagi dipegang Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, membantai dan menghentam PH sahaja bermakna rakyat sudah syok sendiri dengan kerajaan sekarang, sedangkan hari ini bukanlah masa untuk berfikir dalam lingkungan parti semata-mata.
“Kita kena fikir ke depan, bukan terlampau seronok dengan apa yang ada.
“Ada yang tidak puas hati kita kritik Ahli Parlimen Baling, lalu bertanya tak kritik PH ke?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ustaz Mohd Hazizi menegur, penyokong kepartian tertentu supaya berubah dan berfikir untuk watan yang hampir hancur jika kekal berfikir mengenai puak masing-masing sahaja.
“PH jatuh sebab PH teruk sangat, bukan sebab PN dengan segala parti komponennya bagus sangat.
“PN perlu kritikan membina, biar berubah ke arah lebih baik, bukan patah balik macam zaman BN,” katanya.