Zionis laku jenayah perang, 80 organisasi desak PPB bertindak
Ahmad Erekat mangsa ke-21 pembunuhan Israel tahun ini
BAITULMAQDIS, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – Lebih 80 organisasi Palestin dan antarabangsa menulis surat kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan pembunuhan seorang pemuda Palestin, baru-baru ini.
Surat berkenaan menuntut rejim pengganas Israel bertanggungjawab ke atas kematian berkenaan.
Dalam rayuan yang dikemukakan kepada Prosedur Khas PBB itu, 83 kumpulan dari 16 negara mendakwa, pembunuhan Ahmad Erekat, 28, yang berasal dari perkampungan di Abu Dis di Tebing Barat adalah pelaksanaan dasar oleh rejim Zionis untuk membunuh secara meluas dan sistematik dengan menyasarkan rakyat Palestin.
Prosedur khas adalah pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menangani masalah hak asasi manusia.
Di bawah undang-undang antarabangsa, pembunuhan Ahmad Erekat adalah disengajakan dan penjenayah boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ahmad Erekat adalah rakyat Palestin ke-21 yang dibunuh oleh rejim Zionis Israel sejak awal tahun ini.
Rejim Zionis menembak mati Ahmad Erekat di pusat pemeriksaan berhampiran bandar Bethlehem pada 23 Jun lalu.
Tentera Israel turut bertindak biadab apabila menghalang Ahmad Erekat untuk mendapatkan rawatan perubatan, selain menghalang ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menuju ke tempat kejadian.
Beliau yang cedera parah tidak dapat diselamatkan lalu meninggal dunia.
Lebih teruk, rejim Zionis menahan jenazah Ahmad Erekat selain menghalang pengebumiannya, sekali gus menambahkan penderitaan ahli keluarga mangsa.
Rejim Zionis memberi alasan, pembunuhan Ahmad Erekat dilakukan selepas beliau menyerang menggunakan kereta, namun ahli keluarganya mendakwa, mangsa mengalami kemalangan ketika melalui pusat pemeriksaan, bagi menjemput adiknya menjelang hari perkahwinan beliau. – Agensi