Berita Utama

PPSMI terburu-buru, tak wajar dilaksana: i-Guru

PdP Sains, Matematik terbukti berkesan dalam bahasa kebangsaan

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, subjek Sains dan Matematik telah diajar dalam bahasa Melayu sejak tahun 70 an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

“I-Guru menyokong usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sebagai persediaan menghadapi dunia pasaran kerjaya tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidakupayaan penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dbuat untuk mengatasi kelemahan-kelemahan terdahulu.

Menyambut baik langkah kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula PSMI, Ustaz Azizee berkata, kenyataan positif Dr Radzi selari dengan hasrat i-Guru yang menentang pelaksanaan PPSMI sebelum ini.

Beliau berharap, kenyataan Menteri Kanan Pendidikan itu sebagai langkah pihak KPM mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pedagogi terbaik dan berkesan.

“Menjadikan Sains dan Matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan murid yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan.

“Ia selaras dengan apa yang termaktub di dalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Justeru, i-Guru berharap sebarang keputusan berkaitan dasar pendidikan negara tidaklah dilakukan secara terburu-buru tetapi perlu mengambil kira pelbagai aspek demi masa depan anak-anak kita” katanya.

PPSMI sebelum ini pernah diperkenalkan bagi Tahun Satu sekolah rendah dan Tingkatan Satu sekolah menengah pada tahun 2003 namun dimansuhkan pada tahun 2013 kerana dianggap tidak praktikal untuk perkembangan potensi pelajar di kawasan luar bandar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button