Berita Utama

99 peratus kawasan terjejas bekalan air di Selangor pulih

4 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dalam proses pemulihan

KUALA LUMPUR, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Sebanyak 286 atau 99 peratus daripada jumlah kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual sejak 14 Julai lepas, pulih sepenuhnya setakat 7 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, empat kawasan di wilayah Klang/Shah Alam masih dalam proses pemulihan manakala wilayah Kuala Langat, Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling, masing-masing pulih 100 peratus.

“Kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air adalah keseluruhan Taman Sentosa Klang, keseluruhan Taman Sri Andalas Klang, Jalan Raja Nong Klang dan Jalan Rajion Klang.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan yang masih terjejas,” menurut kenyataan itu.

Pada 6 Julai, Air Selangor memaklumkan 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 14 hingga 17 Julai berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

Orang ramai boleh merujuk kepada Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan www.airselangor.com bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status bekalan air. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button