Berita UtamaIstimewa

GERAKAN main persepsi buruk jauhkan Jawi dari bukan Melayu

Tak perlu politikkan isu, harmonikan hubungan kaum dengan tulisan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Parti GERAKAN tidak sepatutnya mempolitikkan isu pelaksanaan kempen ‘Hari Jumaat Hari Jawi’ hingga melabelkannya sebagai satu agenda Islamisasi di negara ini.

Membidas kenyataan terbaharu pemimpin parti itu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, sebenarnya tidak menjadi isu untuk diperluaskan tulisan Jawi kepada bukan Melayu.

Ini kerana, katanya, ia sebagai meraikan kepelbagaian tulisan dalam kemajmukan tulisan lain di negara berbilang kaum ini.

Beliau berkata, dengan kepelbagaian bangsa, asas mengharmonikan hubungan sesama insan adalah melalui menguasai kepelbagaian tulisan, yang mana menjadi antara ciri pemupukan semangat patriotik negara.

Justeru, beliau berpandangan bahawa kemarahan Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong termasuk sesetengah pihak yang lain kerana menganggap dan memberi persepsi buruk terhadap tulisan berkenaan, berkemungkinan mempunyai agenda untuk menjauhkan orang bukan Melayu dengan tulisan Jawi. 

“Padahal sahabat-sahabat bukan Melayu yang mampu menulis Jawi berbangga dan mereka tetap dengan agama mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Sabri berkata, Jawi seperti yang semua sedia maklum adalah tulisan perantara sebelum merdeka lagi.

Tulisan ini, katanya, menjadi tuan di Tanah Melayu dan diguna pakai oleh semua kaum sebelum dan selepas merdeka sehinggalah dalam Akta Pendidikan 1963 mewajibkan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi.

Pun begitu, tegasnya, tulisan Jawi tetap menjadi agenda utama orang Melayu dalam sistem pendidikan Malaysia sehingga diperkenalkan JQAF untuk mengangkat dan memartabatkan tulisan itu.

“Sejarahnya, apabila tulisan Jawi dimasukkan dalam mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah kerajaan sekali gus nampak seolah-olah tulisan ini hanya untuk orang Islam. 

“Keadaan ini perlu dirungkai agar persepsi tulisan ini tidak dijadikan tulisan untuk orang-orang Islam sahaja,” syornya.

Terdahulu, kenyataan Sabri menimbulkan rasa tidak puas hati GERAKAN selepas beliau mengesyorkan kerajaan supaya menjadikan Jawi sesuatu yang ‘biasa’ untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau turut menyatakan bahawa tulisan itu mampu dipelajari oleh semua kaum dan bukan hanya untuk kegunaan komunikasi orang Islam.

Namun, Tong Keong berkata, kenyataan Sabri jelas menceroboh hak dan kepentingan orang bukan Islam, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan dengan terbuka ‘mempengaruhi’ keputusan kerajaan agar pengunaan Jawi turut melibatkan kaum lain.

Tong Keong berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya sikap rasis PAS yang memecah-belahkan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button