Berita Utama

MCA kaduk naik junjung bantah tukar nama Bukit St Paul

Diingatkan jaga tutur kata, kemenangan mereka ihsan orang Melayu

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Parti perkauman MCA diibaratkan kaduk naik junjung apabila membantah cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, Bukit Melaka.

Naib Yang Dipertua ISMA Melaka, Mohammad Alif Rahman mengingatkan parti itu untuk menjaga tutur kata dan tidak melampaui batas, memandangkan kemenangan mereka disebabkan ihsan undian tempat majoriti Melayu.

Menyokong penuh saranan pertukaran nama Bukit St Paul kepada nama lamanya, beliau berkata, ini sebagai tanda semangat patriotisme serta cintakan identiti negara.

“Namun sedikit mengecewakan saya dengan kenyataan MCA Kota Melaka yang mempertikaikan usul pertukaran nama Bukit Saint Paul kepada Bukit Melaka. Ibarat kaduk naik junjung, ibarat pemandu mabuk melantak arak. Ini perumpamaan yang boleh saya berikan kepada MCA,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bercadang menukar nama Bukit St Paul kepada nama lamanya, Bukit Melaka.

Pengurus Besarnya, Mohd Nasruddin Rahman berkata, usul berkenaan dibuat bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan yang pada awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

“Bukit Melaka adalah nama asalnya. Bila penjajah masuk Melaka nama itu ditukar kepada Bukit St Paul. Jadi, sekarang seolah-olah kita sedang mempromosikan nama gereja yang ada di situ.

“Jadi, kita mahu kembalikan nama itu kepada pemilik asalnya iaitu kerajaan Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Usul itu bagaimanapun mendapat bantahan MCA Kota Melaka dengan menyifatkan cadangan mengubah nama ikon sejarah itu sebagai tidak masuk akal.

Naib pengerusinya, Datuk Ronald Gan berkata, Bukit St Paul harus kekal seperti yang telah diketahui selama ini.

Dalam pada itu, Mohammad Alif menegaskan, usul PERZIM yang dilihat menjulang peradaban Melayu nusantara seharusnya disokong oleh semua warganegara tanpa mengira latar belakang kaum dan bangsa.

“Ini supaya generasi baharu dapat menjiwai nilai sebenar peradaban Melayu Melaka. Selain itu, usul ini memperkasakan identiti sebenar sejarah perjuangan Melayu Melaka.
Apa yang diharapkan dengan mempopularkan nama luar berbanding nama Bukit Melaka yang sinonim dengan asal usul dan sejarah kita,” katanya.

Katanya lagi, usul disuarakan itu turut mengukur sejauh mana semangat patriotisme rakyat Malaysia.

“Semangat patriotisme yang perlu disanjung dan dijulang oleh semua rakyat di Malaysia dengan memperingati nilai sejarah negara berbanding mengagungkan nilai sejarah penjajah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button