Berita Utama

Tingkat kesedaran isu penderaan kanak-kanak melalui pendidikan

Banyak ilmu duniawi ditekankan di sekolah hingga lupa ilmu manusiawi

BANGI, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat kini berperanan dalam menangani kes-kes berkaitan keganasan terhadap wanita serta penderaan kanak-kanak.

Ini kerana, pembabitan semua pihak secara khusus dalam masalah itu secara tidak langsung melambangkan ketamadunan sesuatu umat dan negara.

Atas dasar itu, Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari menyarankan supaya kesedaran melalui pendidikan yang merangkumi nilai-nilai kemanusiaan ditingkatkan, sebagai solusi kepada masalah berkenaan.

“Sudah tiba masanya pihak berkepentingan duduk untuk menilai semula sistem pendidikan kita bagi memastikan masyarakat bukan sahaja maju dari segi material dan ekonomi, tetapi kaya dengan akhlak, adab serta ciri-ciri kemanusiaan.

“Mana-mana penganut pastinya diajarkan tentang sifat insani dan kasih sayang sesama insan.

“Sekarang kita banyak lihat ilmu berkenaan materialistik dan duniawi yang banyak ditekankan di sekolah sehingga melupakan ilmu berkenaan moral manusiawi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tragedi penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam keadaan tangan diikat di kawasan semak, dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Panji, Lahad Datu, semalam.

Bersimpati dengan kejadian menimpa kanak-kanak itu, Dr Fadilah turut mengharapkan keluarga mangsa diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button