Berita Utama

Perubahan sikap pengguna beri manfaat kepada sektor halal

COVID-19 ubah tingkah laku pengguna lebih peka kepada kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil manfaat daripada perubahan tingkah laku pengguna yang kini mengutamakan kesihatan dan kebersihan, dengan meneroka sektor halal, menurut AmBank Islamic.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Eqhwan Mokhzanee berkata pandemik COVID-19 telah mengubah tingkah laku pengguna yang kini lebih peka kepada kesihatan.

“Penting untuk syarikat bersedia menghadapi situasi pasca COVID-19, mampu berubah daripada perniagaan tradisional selain mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu.

“Kami yakin halal adalah satu sektor yang boleh diteroka oleh PKS. Ia lebih daripada sudut pematuhan apabila menyentuh mengenai halal kerana ia turut melibatkan kebersihan,” katanya dalam sesi webinar BizCONFERENCE AmBank bertajuk ‘Halal Quest’ hari ini.

Eqhwan berkata pensijilan halal tidak lagi eksklusif kepada industri makanan dan minuman berikutan ia membabitkan operasi menyeluruh perniagaan itu seperti logistik dan pembuatan.

Selain itu, beliau berkata pensijilan halal akan memperkukuhkan saranan nilai syarikat, sekali gus membolehkan mereka mempertahankan pasaran sedia ada di samping meneroka pasaran baharu.

Terdahulu, pada sesi webinar mengenai pendigitalan, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Ng Wan Peng berkata transformasi digital PKS adalah perlu dan berpotensi meningkatkan kuantiti perniagaan sebanyak 10 hingga 20 kali.

Beliau berkata, dari segi kos, PKS boleh memulakan langkah pendigitalan mereka secara kecil-kecilan atau mengambil geran yang ditawarkan MDEC, selain agensi-agensi lain dan sektor swasta yang dapat membantu menyelesaikan proses ini.

Bersempena siri BizCONFERENCE hari ini, AmBank turut melancarkan AmBank BizRACE musim ketiga.

Ia akan memberi pengetahuan, pendedahan kepada publisiti dan peluang perangkaian kepada PKS dalam tiga bidang tumpuan — Revolusi Perindustrian 4.0, pendigitalan dan sektor halal.

Pendaftaran dibuka hari ini sehingga 2 September 2020.

Sebagai antara usaha AmBank membantu PKS, ia turut memperkenalkan pasaran AmBank BizHUB untuk membantu PKS mendigitalkan rantaian bekalan dan menyediakan platform e-dagang yang akan membantu PKS lebih mudah berhubung dengan perniagaan lain.

Pasaran AmBank BizHUB disediakan kepada PKS tanpa kos penyertaan dan mereka tidak perlu mewujudkan atau membangunkan platform e-dagang sendiri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button