Berita Utama

Pilihan raya PBT perlu ditolak secara konsisten: ISMA

Sistem institusi PBT akan dicemari dengan campur tangan politik

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Gerakan Islam sederhana Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) secara konsisten menolak pelaksanaan sistem pilihan raya kerajaan tempatan.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya membangkitkan perkara itu setelah ia kembali diperkatakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang menetapkan sasaran untuk membentangkan usulnya di Parlimen.

“Kita konsisten dengan pendirian kita untuk menolak sistem pilihan raya PBT dilaksanakan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam hantaran sama, Haji Aminuddin turut berkongsi artikel beliau pada tahun lalu berkenaan masalah pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Menerusi artikel itu, beliau yakin PBT pasti dikuasai secara langsung atau tidak langsung oleh DAP sekiranya sistem pilihan raya kerajaan tempatan berjaya diadakan.

“Timbul persoalannya di sini, adakah kita reda dengan langkah halus menggantikan ketua-ketua PBT kepada ahli politik terutamanya dari DAP? Dan apakah jaminan PBT yang dikuasai oleh mereka ini tidak akan bertindak sewenang-wenangnya terutamanya dalam isu-isu maksiat dan yang menyentuh sensitiviti masyarakat?

“Kita semua kenal bahawa DAP memang terkenal dengan provokasi yang berkaitan dengan sensitiviti masyarakat,” dakwanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak memandang remeh agenda DAP yang mahu melaksanakan pilihan raya PBT berbanding sistem sekarang iaitu jawatan yang dipertua (YDP) dan datuk bandar melalui sistem lantikan dari kalangan penjawat awam.

Dakwanya, jika pilihan raya PBT dilaksanakan, maka institusi PBT akan dicemari dengan campur tangan politik kepartian kerana semestinya parti-parti politik akan masuk bertanding.

“Akhirnya, jawatan-jawatan PBT akan menjadi seperti ADUN dan Ahli Parlimen yang direbut-rebut oleh politikus. Jadi, semakin menebal dan pekatlah cengkaman politik kepartian di negara kita. Selain sistem ini merugikan kita, sebenarnya ada mudarat yang lebih besar kerana DAP punyai agenda dan misi yang sangat besar,” dakwanya.

KPKT menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.

Zuraida berkata, sejak 2018 sehingga kini, pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Menurutnya, jawatankuasa polisi terdiri daripada pegawai dan agensi kerajaan untuk mempertimbangkan isu berkenaan perundangan, implikasi kewangan dan kaedah serta mekanisme pelaksanaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close