Berita Utama

PN ‘dayus’ jika lantik, sokong MCA di kawasan majoriti Melayu

UMNO, PAS jangan gadai prinsip Islam, Melayu seperti di Tg Piai

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) akan dianggap sebagai ‘dayus’ jika melantik dan menyokong mana-mana pemimpin MCA sebagai calon mewakili kepentingan Melayu Islam di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid berkata, ini kerana rekod pencapaian wakil rakyat MCA bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, baik ketika bersama Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO di dalam PN.

“Memandangkan calon-calon MCA pastinya akan kalah di kawasan-kawasan pengundi Cina, maka kedudukan dan kewujudan mereka perlu dikekalkan di dalam BN atau PN. Salah satunya ialah dengan meletakkan mereka sebagai calon untuk bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

“BN atau PN mungkin beranggapan bahawa para pengundi majoriti Melayu ini masih kuat ketaksuban mereka terhadap UMNO dan PAS, justeru akan patuh dan menurut sahaja serta memangkah calon MCA di kertas-kertas undi.

“Maka di sinilah saya katakan bahawa adalah terlalu dayus bagi UMNO dan PAS ketika memilih, bersetuju atau menyokong mana-mana pemimpin MCA sebagai calon untuk mewakili kepentingan Melayu dan Islam, khususnya di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Luttfi mendakwa, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menjadi kayu pengukur pengabaian UMNO dan PAS terhadap maslahat serta kepentingan bangsa atau umat.

“Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa prinsip-prinsip perjuangan Melayu dan Islam telah tergadai di tangan-tangan UMNO dan PAS di Tanjung Piai.

“Sekiranya MCA bertanding dan kalah di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina sekalipun, ia tidak mendatangkan apa-apa keburukan dan kerugian kepada mereka.

“Ini kerana DAP dan GERAKAN adalah pilihan alternatif untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan-kepentingan Cina di dalam Parlimen, dalam kerajaan Pusat atau pun di Dewan Undangan Negeri (DUN),” dakwanya.

Ketika ini, majoriti barisan kepimpinan UMNO amat mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilaksanakan segera.

Perkara itu timbul akibat ketidakstabilan kerajaan PN, seperti gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen.

Selain itu, pemerhati politik pula percaya UMNO menyasarkan majoriti di Parlimen untuk mendapatkan kembali kuasa yang terlepas pada pilihan raya lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button