Tingkat ‘persepsi akan ditangkap’ bendung kesalahan lalu lintas
Semua perlu posisikan kesalahan memandu secara mabuk berbahaya
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Langkah meningkatkan Persepsi Akan Ditangkap (POBC) secara keseluruhan adalah lebih berkesan dalam membendung semua kesalahan lalu lintas terutamanya melibatkan kes serius seperti memandu dalam keadaan mabuk.
Pakar bidang kejuruteraan pengangkutan, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, sekiranya POBC tinggi, masyarakat dengan sendirinya akan menghormati undang-undang.
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik difikirkan dan didebatkan mengenai kaedah untuk meningkatkan POBC, supaya masyarakat tahu bahawa kesalahan memandu secara mabuk dianggap paling serius dan akan memberikan implikasi tertinggi jika ditangkap dan didapati bersalah.
“Ia juga akan menjadikan pemandu sentiasa waspada kerana pihak penguatkuasa boleh berada di mana-mana oleh kerana POBC adalah tinggi di kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Katanya lagi, semua pihak perlu memposisikan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol adalah amat berbahaya dan merupakan kesalahan serius yang perlu dielakkan.
“Pihak berkuasa perlu memastikan semua yang ditangkap, disaman dan bersalah atau mengaku bersalah dilengkapkan hukuman, membayar kompaun dan diberi mata demerit tanpa sebarang diskaun,” katanya lagi.
Selain itu, Ahmad Farhan berkata, penghakupayaan masyarakat juga satu kaedah yang amat penting dan berkesan.
“Tetapi rakyat perlu terlebih dahulu mempunyai civic mindedness dan nilai-nilai yang tinggi,” katanya.