Berita Utama

9 kes hari ini

Empat kes import dan lima kes penularan dalam negara

KUALA LUMPUR, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatat satu angka hari ini berbanding 18 kes semalam, dengan hanya sembilan kes dilaporkan membabitkan empat kes import dan lima kes penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia 8,764 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 96 kes.

“Empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Kes import itu adalah dari Indonesia sebanyak dua kes; Singapura satu kes dan Pakistan satu kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada lima kes penularan dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China), dan beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Memperincikan kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham berkata baki empat kes penularan di dalam negara melibatkan satu kes saringan kontak rapat dengan Kluster Mambong; satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching; dan dua kes daripada Kluster Stutong, iaitu kluster baharu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat COVID-19, kekal 122 kes sejak 10 Julai.

Beliau berkata terdapat lima kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dan discaj adalah sebanyak 8,546 kes manakala hanya satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close